Dunia

Israel salahkan Iran sebab Hamas serang Tel Aviv

Netanyahu ikrar guna semua kekuatan untuk balas dendam

RAMALLAH, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – Presiden negara haram Israel, Isaac Herzog menyalahkan Iran atas serangan mengejut Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang menyebabkan rakyatnya terbunuh.

Herzog berikrar Tel Aviv akan mengambil semua langkah segera yang perlu untuk menghapuskan bahaya ke atas rakyat Israel.

“(Serangan) disokong dan diarahkan oleh komander proksi mereka di Iran, mereka (Hamas) melakukan serangan tanpa provokasi terhadap negara Yahudi pada hari suci Yahudi.

“Saya menyeru kepada keluarga bangsa, peperangan yang dilancarkan terhadap kita ini menandakan satu garisan di pasir.

“Sekarang adalah masa untuk mendengar kecaman jelas dan tidak berbelah bahagi terhadap Hamas, sekutunya dan penyokongnya di Iran,” dakwa Herzog dalam kenyataan.

Iran adalah musuh ketat Israel. Terdahulu, Kementerian Luar Iran menyifatkan serangan Hamas sebagai tindakan mempertahankan diri.

Sabtu lalu, Hamas melancarkan serangan terbesar membabitkan puluhan pejuang yang menyusup masuk ke bandar-bandar Israel berhampiran Semenanjung Gaza di tengah-tengah tembakan roket yang kuat.

Sekurang-kurangnya 300 warga Israel didakwa terbunuh dan lebih 1,500 cedera dalam serangan itu, manakala beberapa askar dan orang awam ditangkap oleh Hamas serta dibawa pulang ke Gaza.

Pengganas Israel bertindak balas dengan beberapa siri serangan udara di Semenanjung Gaza, yang turut mengorbankan lebih 300 nyawa rakyat Palestin dan lebih 1,700 lagi cedera.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk menggunakan semua kekuatan untuk memusnahkan keupayaan Hamas dan membalas dendam untuk hari hitam itu.

Serangan Hamas berlaku ketika pengganas Israel menandakan ulang tahun ke-50 perang 1973 yang membawa Tel Aviv ke ambang kekalahan besar.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button