APMM tahan 38 nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu
Turut dirampas 300 kilogram ikan campur, 3,000 liter diesel

KUALA TERENGGANU, 13 Rejab 1442H, Khamis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu hari ini, menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 38 kru termasuk tekong ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan negeri itu Selasa lepas.
Pengarah APMM Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot ditahan pada jarak 130 dan 132 batu nautika dari Kuala Terengganu antara 2.30 hingga 3.30 petang oleh Kapal Maritim (KM) Gemia yang sedang menjalankan Op Kuda Laut di perairan Terengganu.
Beliau berkata, siasatan mendapati, kru terbabit termasuk tekong berusia lingkungan 15 hingga 70 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dipercayai mereka baru sahaja berada di kawasan perairan negara berdasarkan hasil jumlah tangkapan ikan yang diperoleh. Ketika tangkapan dilakukan, sebuah bot daripada bot itu bertindak memotong pukat ketika cubaan melarikan diri ke sempadan perairan negara yang terletak kira-kira 20 batu nautika dari lokasi tangkapan.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota APMM berjaya mematahkan cubaan tersebut dan semua yang ditahan diiring masuk ke jeti Maritim Kuala Terengganu untuk ujian saringan COVID-19 sebelum proses tahanan reman dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu hari ini.
Katanya turut dirampas kira-kira 300 kilogram ikan campur serta 3,000 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan bot yang keseluruhan bernilai RM3 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Seksyen 16(3) akta sama kerana memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran.
Muhammad Suffi berkata, melalui Op Naga Barat, yang dijalankan bersama pelbagai agensi sejak 26 April 2019 hingga kini, pihaknya telah memeriksa 13,487 bot dan daripada jumlah itu, sebanyak 340 tangkapan dilakukan dengan nilai rampasan sebanyak RM435 juta.
“Bagi Op Kuda Laut yang dilakukan oleh pihak APMM sendiri sejak Jun tahun lalu hingga hari ini, sebanyak 71 bot Vietnam telah ditahan dengan nilai rampasan berjumlah RM106.5 juta,” katanya.
Beliau juga meminta masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224 357. -Bernama