Berita Utama

Buka sekolah: Ibu bapa jangan runsing, utamakan pembelajaran bersemuka

Jika ada masalah kewangan bincang dengan pihak sekolah, PIBG

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Rejab 1442H, Khamis – Ibu bapa tidak perlu runsing dan bimbang terhadap pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 Mac ini.

Sebaiknya, fokus perlu diberikan terlebih dahulu terhadap kepentingan keperluan pembelajaran secara bersemuka yang lebih berkesan, khususnya dalam memastikan tiada keciciran berlaku bagi murid prasekolah dan tahap satu.

Meskipun begitu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengambil maklumkan keluhan sebahagian ibu bapa yang terkesan dengan pembukaan semula sekolah, terutama bagi keluarga berpendapatan B40.

Sebelum ini, rata-rata ibu bapa merungut dan keliru dengan kenyataan Menteri Pendidikan, tatkala KPM menekankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan pelancaran DidikTV, yang kemudian secara mengejut mengumumkan pembukaan sekolah.

Kegusaran itu diluahkan mereka selepas mendakwa sudah berhabis duit memenuhi keperluan PdPR dan terpaksa membuat pula persiapan bagi memulakan sesi persekolahan.

Memahami kesukaran itu, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, ibu bapa tidak perlu runsing kerana keputusan KPM membuka kembali sesi persekolahan mengambil kira situasi semasa COVID-19.

“Pembelian gajet tidaklah dikira membazir kerana ia adalah alat sokongan yang boleh digunakan untuk sesi pembelajaran online, kelas tambahan dan mengakses maklumat pembelajaran jika pelajar tidak hadir ke sekolah atau ketinggalan pelajaran.

“Gajet atau alat peranti boleh dioptimumkan penggunaannya untuk tujuan kelas tambahan dan waktu pelajar berada di rumah dan boleh dijalankan pada malam hari atau hari cuti,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan, ibu bapa atau murid yang menghadapi masalah terutama kekangan kewangan, supaya berbincang dengan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Keutamaan sekarang ialah memastikan murid-murid kekal bermotivasi dan bersemangat untuk belajar serta menangani keciciran pendidikan.

“Semua pihak perlu saling membantu dan bekerjasama menyelamatkan murid daripada kehilangan pendidikan,” katanya.

Semalam, KPM membenarkan murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah memakai pakaian sesuai, kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah.

Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan kebenaran itu diberi mulai 1 Mac sehingga 26 Mac – iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button