Hamas bidas PA cuba monopoli keputusan di Palestin
PA rahsia syarat perjanjian dengan firma Mesir berkait pelantar gas

BAITULMAQDIS, 13 Rejab 1442H, Khamis – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) memonopoli keputusan di negara itu.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam ciapan di laman Twitternya menyifatkan, tindakan pegawai PA dan pergerakan Fatah yang memberi harapan palsu kepada rakyat Palestin bahawa mereka mentadbir negara dengan baik adalah memalukan.
Hazem berkata, PA gagal mencapai hasrat nasional rakyat Palestin.
“Sebaliknya, ia menggunakan kesempatan politik dan geografi selain mahu berkomproni dengan penjajahan Israel,” dakwanya.
Kenyataan itu dikeluarkan setelah PA mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian dengan sebuah firma Mesir untuk melabur di pelantar gas di pinggir Gaza.
Bagaimanapun, syarat perjanjian telah dirahsiakan.
Mengulas lanjut, Hazem berkata, warga Palestin mempunyai hak untuk mengetahui cara PA menangani perkara-perkara utama negara itu termasuk perincian perjanjian terbabit.
“Tingkah laku unilateral ini menegaskan kepentingan mengadakan pilihan raya pada semua peringkat bagi memilih institusi yang benar-benar memahami kepentingan rakyat Palestin berdasarkan hubungan nasional,” katanya. – Agensi