Berita Utama

Kes luar tabii: Keputusan mahkamah buka ruang cabar jenayah Syariah

PPMM berusaha cari jalan proaktif dalam arus perdanakan Syariah

BANGI, 13 Rejab 1442H, Khamis – Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membuka ruang untuk mana-mana pihak mencabar peruntukan jenayah Syariah yang lain di masa akan datang.

Kebimbangan itu disuarakan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen yang diluluskan itu juga bertentangan dengan Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 tidak konsisten dan tidak sah,” katanya.

Menyifatkan perkara tersebut sebagai mendukacitakan, Zainul Rijal berkata, keputusan mahkamah akan menjejaskan kedudukan undang-undang Syariah berkaitan kes liwat di negeri lain, selain Wilayah Persekutuan.

“Walaupun mahkamah hanya menyatakan Seksyen 28 tersebut sahaja tidak sah, tetapi ia akan membuka ruang pada masa hadapan untuk dicabar peruntukan jenayah Syariah yang lain.

“Saya sedang memikirkan langkah proaktif bagi membetulkan keadaan ini dari sudut aplikasi undang-undang Syariah dalam kerangka untuk mengarus perdana Syariah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 25 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan kepada lelaki berumur 35 tahun bagi memulakan prosiding menerusi petisyennya terhadap kerajaan Selangor dan deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, tidak sah.

Pada 21 Ogos 2019, Ketua Pendakwa Syarie menerusi pendakwa Syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa dengan pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button