Berita Utama

Bacaan doa awal, akhir tahun serentak di masjid seluruh Wilayah Persekutuan

Hayati tema Maal Hijrah, terjemahkan melalui sifat persaudaraan, perpaduan

BANGI, 29 Zulhijjah 1444H, Selasa – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan bacaan doa awal dan akhir tahun serentak di 90 masjid, 135 surau Jumaat dan 624 surau di seluruh Wilayah Persekutuan sempena sambutan Maal Hijrah petang ini.

Jawi dalam kenyataan berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik juga akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M pada 26 Julai di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Katanya, majlis sambutan itu diadakan bertujuan memperingati pengiktibaran daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad ﷺ supaya dapat diamalkan dalam kehidupan.

“Tema Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ perlu diterjemahkan melalui sifat pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah bagi membangunkan sebuah masyarakat yang dapat menghayati nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Umat Islam perlu menjauhi segala tindakan yang boleh menganggu-gugat keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat serta menjauhi persengketaan yang memecahbelahkan,” katanya.

Menurut Jawi, majlis sambutan berkenaan dijangka disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, selain turut memberikan pengiktirafan kepada individu yang memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan dan kesejahteraan ummah di Wilayah Persekutuan.

“Antara pengisian utama Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan pada kali ini ialah Bual Bicara Khas Maal Hijrah yang bakal mengupas topik menarik bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani.

“Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M bagi kategori Pengurusan Masjid, Pendakwah Korporat dan Mualaf.

“Kategori Pengurusan Masjid adalah kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini bagi memberikan penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan dan komitmen para petugas atau penggerak aktiviti dan program pengimarahan masjid, sekali gus mempromosikan peranan institusi tersebut sebagai pusat penyatuan dan perpaduan masyarakat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button