Berita Utama

Qatar sambut baik kemasukkan Palestin bawah bidang kuasa ICC

Merintis jalan kepada siasatan melakukan jenayah antarabangsa

DOHA, 13 Rejab 1442H, Khamis – Qatar pada Rabu menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memasukkan wilayah Palestin yang diduduki di bawah bidang kuasanya, merintis jalan kepada siasatan melakukan jenayah antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

Duta Qatar ke Geneva, Ali Khalfan Al Mansouri berkata demikian ketika dialog interaktif mengenai laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia mengenai pertanggungjawaban dan keadilan untuk semua pelanggaran undang-undang antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Al-Mansouri berkata mereka telah meneliti laporan itu dan mengutuk keras tindakan berterusan Israel melanggar undang-undang dan melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Masyarakat antarabangsa berulang kali menekankan tindakan Israel ke atas Palestin melanggar undang-undang antarabangsa dan berdasarkanKonvensyen Geneva Keempat, ia dianggap jenayah perang di bawah Statut Rom 1998.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil semua langkah perlu bagi mengakhiri pencerobohan dan penempatan Israel di tanah Arab, melindungi rakyat Palestin, memastikan semua hak Palestin yang sah dikembalikan selain penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat maju berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button