Undang-undang syariah Selangor berhubung seks luar tabii bercanggah Perlembagaan
Keputusan oleh Mahkamah Persekutuan diumum Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA, 13 Rejab 1442H, Khamis – Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.
Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Seksyen yang diluluskan itu juga bertentangan dengan Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 tidak konsisten dan tidak sah,” katanya seperti dipetik portal FMT.
Hakim lain dalam panel tersebut adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.
Seorang pemohon berusia 35 tahun, yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, memohon deklarasi bahawa Seksyen 28 adalah tidak menepati Perlembagaan.