Berita Utama

8 tertuduh mengaku tak bersalah protes tulisan Jawi

MCA akan lantik peguam bela, lindungi tertuduh

JERANTUT, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Lapan lelaki mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, susulan memprotes penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Goh Say Aik, Leong Ah Kow, Yong Loong Sang, Cheong Sai Kow , Chip Tong Sang, Chip Meng Sung, Wong Keng Yau dan Kong Teck Fook melakukan kesalahan itu ketika perhimpunan haram pada 18 bulan lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 20 Ogos 2019 di depan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Sungai Jan di sini, untuk memprotes penggunaan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Semua tertuduh berdepan hukuman penjara enam bulan, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam T Gunaseelan yang hadir bersama Ng See Teong berkata, anak guam mereka masing-masing dibenar diikat jamin sebanyak RM3,000.

Kes akan disebut semula di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 30 Mac depan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, parti itu sentiasa mengikuti perkembangan isu berkenaan.

Beliau beranggapan semua tertuduh hanya mengamalkan hak kebebasan bersuara dalam keadaan yang aman, seperti dibenarkan dalam Perlembagaan negara serta tanpa mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, Sin Woon berkata, pihaknya akan melantik peguam bagi membantu semua tertuduh disebabkan pembabitan mereka dalam “Bantahan Kemasukan Pembelajaran Jawi dalam Kurikulum Pendidikan Cina”.

“Oleh itu, MCA rasa bertanggungjawab melantik peguam untuk membantu mereka, selain membela mereka di mahkamah bagi melindungi dan mendapatkan semula hak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button