Amaran, virus mutasi di Turki semakin meningkat
Turki bakal miliki 105 juta dos vaksin selewatnya akhir Mei ini

ANKARA, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Turki menegaskan bahawa tiada varian baharu COVID-19 berasal dari negara itu.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatannya, Fahrettin Koca berkata, kadar jangkitan wabak itu yang berkait rapat dengan strain United Kingdom (UK) meningkat di negara berkenaan.
“Sejumlah satu varian dari Brazil dan 49 lagi dari Afrika Selatan telah dikenal pasti di Turki setakat ini,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau turut memberi amaran kepada rakyat mengenai virus bermutasi disebabkan jangkitannya semakin meningkat di negara itu.
Mengulas mengenai kempen vaksinasi besar-besaran yang sedang berlangsung, beliau berkata, lebih lapan juta orang telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Daripada jumlah itu, katanya, hampir 1.5 juta telah menerima dos kedua vaksin berkenaan.
“Turki akan memiliki 105 juta dos vaksin coronavirus selewat-lewatnya pada akhir Mei ini,” katanya sambil menambah negara itu pada awalnya akan menerima 800,000 dos vaksin BionTech dalam masa 10 hari.
Katanya, usaha giat dilakukan untuk mendapatkan lima juta dos secara keseluruhan. – Agensi