Berita UtamaPendapat

Bersikap realistik dalam isu luar tabii, Syariah berada di kelas ke-2

Kita perlu rasional, tidak lagi retorik dalam perjuangan mendaulatkan Syariah

MAHKAMAH Persekutuan telah memutuskan kesalahan liwat di bawah undang-undang Syariah negeri Selangor adalah terbatal dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, kita membaca banyak ulasan. Ada yang bernada sedih dan ada yang bernada gembira. Saya ingin turut serta mengulas isu penting ini, namun saya memilih untuk bernada tenang, tidak sedih dan tidak gembira.

Saya bersikap realistik dalam isu ini.

1) Sememangnya kedudukan undang-undang Syariah berada di kelas kedua berbanding undang-undang sivil, dari sudut teknikal.

Ini berikutan kedudukan Parlimen sebagai penggubal undang-undang tertinggi negara, manakala kuasa badan perundangan negeri, yang menggubal undang-undang berkaitan kesalahan agama, tidak boleh menggubal undang-undang yang telah wujud dalam undang-undang persekutuan yang diluluskan di Parlimen, dalam kes ini ialah undang-undang berkaitan liwat.

Perkara ini bukan baharu.

Cuma menjadi hangat apabila berlaku pendakwaan oleh Mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan kesalahan liwat dan si tertuduh pula mencabar undang-undang berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

2) Pentadbiran keadilan Syariah, yang berkait dengan Mahkamah Syariah, yang berada di bawah kuasa Raja-raja sebagai Ketua Agama negeri serta Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Agama Wilayah Persekutuan, hanya mempunyai tiga tahap iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Perkara ini dengan sendirinya menunjukkan kedudukan undang-undang Syariah tidak setara undang-undang sivil.

3) Artikel 121 (1A) memang menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Namun, dalam kes kali ini, terdapat dua perkara yang perlu diteliti.

Pertama, sangkaan bahawa mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah boleh dipertikaikan kerana undang-undang liwat itu juga berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil.

Kedua, Mahkamah Persekutuan bersidang mengenai keperlembagaan undang-undang Syariah mengenai liwat yang dikenakan ke atas seorang lelaki, bukan mempersoalkan sabitan kesalahan oleh Mahkamah Syariah ke atas lelaki tersebut, walaupun implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan itu membawa kepada bebasnya lelaki itu daripada kesalahan.

Perkara ini mengenai keselarasan teknikal antara undang-undang sivil dan undang-undang Syariah.

4) Kita tidak seharusnya cepat melenting dalam isu ini. Kita perlu bersikap objektif dan rasional. Ini bukan masanya untuk retorik dan membangkitkan perasaan cemas terhadap masa depan undang-undang Syariah.

Kepada umat Islam yang sayangkan undang-undang Syariah, terutamanya pendukung gerakan Islam, perkara paling utama ialah menjawab persoalan besar iaitu apakah wajah akhir sistem perundangan negara ini yang kita mahukan?

Selama puluhan tahun, sejak sekitar hujung 70-an, laungan retorik mendaulatkan undang-undang Syariah sentiasa menjadi pembakar semangat perjuangan.

Namun, sedarkah kita bahawa sebahagian besar daripada undang-undang sivil itu sendiri tidak bertentangan dengan undang-undang Syariah, malah yang dikatakan undang-undang Syariah itu sendiri pun tidak menepati 100 peratus kehendak Syariah.

Para sahabat ijma bahawa hukuman liwat ialah mati. Undang-undang sivil memperuntukkan hukuman maksima 20 tahun penjara, termasuk sebatan. Undang-undang Syariah, yang diamalkan sekarang ini, hanya memperuntukkan hukuman penjara maksima 3 tahun, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau disebat Syariah tidak melebihi enam kali.

Dari sudut Maqasid Syariah, undang-undang manakah yang lebih hampir memenuhi kehendak Syariah?

Mesej yang ingin saya sampaikan ialah dua perkara.

Pertama, kita kena hantar ahli-ahli Parlimen yang menjiwai perjuangan mendaulatkan Syariah, bukan sekadar namanya muslim dan kemudian menghabiskan masa bertekak tak tentu arah dalam Parlimen atau jenis yang memperjuangkan ideologi liberal sekular.

Ini kerana Parlimen ialah kuasa tertinggi dalam menggubal undang-undang di negara kita ini.

Kedua, perjuangan mendaulatkan Syariah bukan sekadar laungan mendesak itu dan ini, bersifat reaktif dan retorik.

Kita kena proaktif menyelidik dan memberikan solusi praktikal ke arah memperkasakan kehendak Syariah melalui kedua-dua sistem; sivil dan Syariah.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button