Berita Utama

Maqis Johor rampas 27 tan ikan cencaru Vietnam

Dokumen barang dagangan tidak tepat, sepadan dalam permit import

JOHOR BAHRU, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 27 tan ikan cencaru bernilai RM113,603 dalam sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Nur Afifah A. Rahman berkata, ikan tersebut dikesan pihaknya ketika membuat pemeriksaan rutin ke atas sebuah kontena pada pukul 5 petang.

Katanya, semua barangan dagangan dibawa masuk dari Vietnam itu ditahan selepas mendapati dokumen berkenaan ikan cencaru itu tidak tepat dan tidak sepadan seperti di dalam permit import yang diikrarkan.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dihukum penjara selama tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11 (3) akta yang sama,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata, Maqis komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button