Berita Utama

MCA upah peguam bela 8 tertuduh protes Jawi di Jerantut

Anggap semua tertuduh hanya amal hak kebebasan bersuara

BANGI, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Parti perkauman MCA dilaporkan bakal melantik peguam bagi membantu lapan lelaki yang didakwa di mahkamah kerana pembabitan mereka dalam ‘bantahan kemasukan pembelajaran Jawi dalam kurikulum pendidikan Cina’.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan isu itu, selain beranggapan semua tertuduh hanya mengamalkan hak kebebasan bersuara mereka dalam keadaan yang aman seperti dibenarkan dalam Perlembagaan negara.

Katanya lagi, mereka menyuarakan permohonan dengan aman, tanpa menjejaskan keamanan awam.

“Oleh itu, MCA rasa bertanggungjawab melantik peguam untuk membantu mereka, selain membela mereka di mahkamah bagi melindungi dan mendapatkan semula hak mereka,” katanya seperti dilapor Oriental Daily, semalam.

Sebelum ini, lapan lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jerantut kerana perhimpunan haram diadakan 18 bulan lepas bagi memprotes penggunaan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular.

Media melaporkan Goh Say Aik, Leong Ah Kow, Yong Loong Sang, Cheong Sai Kow , Chip Tong Sang, Chip Meng Sung, Wong Keng Yau dan Kong Teck Fook mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 20 Ogos 2019 di depan SRJK Sungai Jan di Jerantut.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda, atau kedua-dua sekali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button