Berita Utama

Ops Duri 2.0: KPDNHEP pantau peniaga durian seluruh negara

Kesalahan guna timbang tidak sah boleh didenda RM40,000

KUALA LUMPUR, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus memantau peniaga durian di seluruh negara menerusi Ops Duri 2.0 berkuat kuasa 22 Februari sehingga 22 Mac depan.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata pelaksanaan operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap semua peniaga durian bagi memastikan mereka menggunakan alat penimbang yang sesuai dan sukatan masih dalam tempoh tentu sah.

Selain itu katanya, aspek pematuhan juga termasuk meletakkan tanda harga dengan jelas, mempamerkan jenis durian dan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Perdagangan Pengedaran yang ditetapkan.

“Menerusi Ops Duri 2.0, peniaga durian tertakluk di bawah peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP2011) dan Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972).

“Kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, pesalah individu boleh didenda RM50,000, manakala bagi syarikat atau perbadanan RM100,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rosol berkata bagi kesalahan menggunakan atau memiliki timbang, sukat atau alat timbang yang tidak ditentusahkan, pesalah individu atau syarikat boleh didenda sebanyak RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sehingga 24 Februari pelaksanaan Ops Duri 2.0, sebanyak 311 pemeriksaan dibuat dan 14 kes dikesan dengan nilai kompaun berjumlah RM2,600 dikeluarkan, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button