Berita Utama

Proaktif cari solusi, henti sikap retorik mendaulat Syariah

Pilih Ahli Parlimen jiwai perjuangan bukan sekadar namanya muslim

BANGI, 14 Rejab 1442H, Jumaat – “Selama puluhan tahun, sejak sekitar hujung 70-an, laungan retorik mendaulatkan undang-undang Syariah sentiasa menjadi pembakar semangat perjuangan.

“Namun, sedarkah kita bahawa sebahagian besar daripada undang-undang Sivil itu sendiri tidak bertentangan dengan undang-undang Syariah, malah yang dikatakan undang-undang Syariah itu sendiri pun tidak menepati 100 peratus kehendak Syariah.”

Demikian ulas Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkenaan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes seks luar tabii, semalam.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata, hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, Ustaz Hazizi meminta, pihak berkaitan proaktif menyelidik dan memberikan solusi praktikal ke arah memperkasakan kehendak Syariah melalui kedua-dua sistem iaitu Sivil dan Syariah.

“Perjuangan mendaulatkan Syariah bukan sekadar laungan mendesak itu dan ini, bersifat reaktif dan retorik.

“Kita kena hantar Ahli-Ahli Parlimen yang menjiwai perjuangan mendaulatkan Syariah, bukan sekadar namanya muslim dan kemudian menghabiskan masa bertekak tak tentu arah dalam Parlimen atau jenis yang memperjuangkan ideologi liberal sekular.

“Ini kerana Parlimen ialah kuasa tertinggi dalam menggubal undang-undang di negara kita ini,” katanya.

Bersikap realistik dalam isu luar tabii, Syariah berada di kelas ke-2

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button