Berita Utama

KKM siasat dakwaan suntikan vaksin kosong

Pandang serius dakwaan, pemberian vaksin tak boleh diambil mudah

LARUT, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat dakwaan seorang individu mengenai disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin COVID-19 di sebuah hospital seperti dilaporkan baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan siasatan secara mendalam perlu dijalankan kerana isu atau masalah berkaitan pemberian vaksin bukan perkara yang boleh diambil mudah ketika ini.

“Ini bukan masa untuk melawak, saya amat tidak setuju dan sangat kesal dengan berita buruk ini. Selain kita risau peningkatan dan penularan kes COVID-19, kita juga risau penularan berita palsu. Kita kena tabayyun. Saya ada terima perkara yang ditularkan itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Selama hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu laporan polis tular dalam media sosial Rabu lepas membabitkan seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital di Banting, Selangor.

Menurut laporan itu, lelaki terbabit merakam video proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman berkenaan, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari, malah jarum suntikan tidak ditekan.

Ditanya mengenai dakwaan kejadian itu mungkin berlaku ekoran petugas keletihan, Dr Noor Azmi berkata perkara itu tidak boleh berlaku kerana terdapat dua atau tiga orang petugas KKM yang membuat pemeriksaan sewaktu proses pemberian vaksin hingga selesai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button