Berita Utama

Tiada alasan penjawat awam tolak vaksin COVID-19: CUEPACS

Wajar menjadi contoh kepada masyarakat agar mereka yakin

KUALA LUMPUR, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menyeru 1.6 juta penjawat awam untuk memberi sokongan serta kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha negara menangani wabak itu.

Presidennya Adnan Mat berkata sebagai jentera hadapan pentadbiran negara, penjawat awam wajar menjadi contoh kepada masyarakat agar mereka yakin dan mendapat maklumat tepat mengenai vaksin COVID-19.

Jelasnya, dalam hal pengambilan vaksin, penjawat awam yang sihat akan menjadi penggerak kepada jentera kerajaan untuk melaksanakan program pemulihan semula ekonomi negara.

“Tiada alasan untuk penjawat awam menolak vaksin COVID-19 atau tidak bersama-sama dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kerana kita adalah barisan hadapan dalam memastikan kemenangan melawan wabak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Corminaty keluaran Pfizer-BioNTech sekali gus menandakan bermulanya Fasa 1 PICK yang melibatkan suntikan kepada petugas barisan harapan.

Adnan berkata sokongan dan kerjasama tersebut boleh diterjemahkan dengan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam yang sudah dan akan menerima suntikan vaksin itu agar berkongsi perkara yang positif agar tidak mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.

“Sekiranya ada masalah atau alahan, mereka perlu merujuk kepada pakar berkaitan dan tidak menokok tambah hingga menimbulkan kerisauan awam.

“Pelaksanaan program pemberian vaksin terbesar dalam sejarah negara ini adalah usaha yang tidak boleh gagal kerana ini adalah peluang terakhir kita semua kembali menikmati kehidupan seperti sebelum penularan COVID-19,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button