Varian UK dominan di Jerman? Merkel beri amaran gelombang ke-3
Kerajaan ambil langkah bijak, berhati-hati elak penutupan Jerman

BERLIN, 14 Rejab 1442H, Jumaat – Canselor Jerman, Angela Merkel memberi amaran mengenai gelombang ketiga COVID-19 yang lebih agresif.
Merkel berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam melanjutkan perintah berkurung di negara itu.
Bercakap kepada media tempatan Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ), Merkel menegaskan, kelonggaran sekatan harus dilakukan secara beransur-ansur disebabkan terdapat mutasi lebih cepat menular dan berbahaya, yang dikenal pasti dalam beberapa bulan terakhir.
“Dengan adanya (mutasi baharu ) ini, kita memasuki fasa baharu pandemik, di mana gelombang ketiga akan muncul,” katanya.
Beliau menegaskan, varian virus United Kingdom (UK) ketika ini adalah lebih agresif berbanding sebelumnya dan berkemungkinan akan menjadi varian dominan di Jerman.
“Oleh itu, kita mesti mengambil langkah bijak dan berhati-hati sekarang agar gelombang ketiga tidak menyebabkan penutupan sepenuhnya di seluruh Jerman,” tambahnya.
Awal bulan ini, kerajaan Merkel dan Perdana Menteri daripada 16 negeri Persekutuan bersetuju untuk melanjutkan perintah berkurung di negara itu sehingga 7 Mac.
Mereka menetapkan matlamat untuk mengurangkan jangkitan kepada maksimum 35 kes per 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari untuk melonggarkan sekatan.
Pada masa ini, kadar jangkitan selama tujuh hari di Jerman adalah 61.7 kes setiap 100,000 penduduk.
Jerman berjaya menurunkan jumlah kes harian COVID-19 di bawah 15,000 bulan ini, tetapi angka kematian jauh lebih tinggi daripada bulan sebelumnya.
Institut Robert Koch pada Khamis melaporkan, sebanyak 11,869 jangkitan baharu dan 385 kematian di negara ini, menunjukkan bahawa wabak masih belum terkawal.
Jerman kini mempunyai jumlah jangkitan kelima tertinggi di Eropah Barat, selepas Britain, Perancis, Sepanyol dan Itali.
Jumlah jangkitan di Jerman kini lebih daripada 2.4 juta kes dengan sekurang-kurangnya 69,195 kematian. – Agensi