Berita UtamaDunia

PBB lulus resolusi desak akses saksama terhadap vaksin COVID-19

Terutamanya melibatkan negara-negara miskin atau dilanda konflik

NEW YORK, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan resolusi yang meminta peningkatan akses kepada vaksin COVID-19 di negara-negara miskin atau dilanda konflik, kata diplomat.

Ini adalah resolusi kedua mengenai pandemik yang disahkan oleh majlis tersebut sejak setahun lalu.

Dalam isyarat yang jarang berlaku itu, ia ditaja bersama oleh semua 15 anggota majlis, kata diplomat.

“Kita semua menghadapi ancaman, pandemik yang sama dan kerjasama antarabangsa serta tindakan multilateral diperlukan.

“Resolusi ini boleh menjadi langkah ke arah yang baik,” katanya yang enggan mendedahkan nama.

Resolusi baharu yang diluluskan semalam menegaskan, ‘keperluan mendesak untuk solidariti, keadilan dan keberkesanan’ dalam memerangi pandemik di negara-negara dengan akses terhad kepada vaksin.

Selain itu, resolusi juga ‘menggesa pengukuhan pendekatan nasional dan multilateral serta kerjasama antarabangsa’ bagi memudahkan akses yang adil dan berpatutan kepada vaksin COVID-19 dalam situasi konflik bersenjata, situasi pascakonflik dan keadaan darurat kemanusiaan yang kompleks.

PBB berkata, kira-kira 160 juta orang hidup dalam keadaan seperti itu.

Draf baharu itu turut mendesak Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kerap melakukan penilaian terhadap halangan untuk akses vaksin.

Ia juga meminta negara-negara anggota untuk mengambil langkah mencegah spekulasi dan penimbunan vaksin bagi memastikan akses ke inokulasi, terutama di zon konflik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button