Berita Utama

3 ADUN Amanah ‘lompat’ ke PKR

Khalid Samad tegaskan tindakan tak jejas hubungan dengan PKR, PH

BANGI, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dari Amanah dilaporkan meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

Beliau menegaskan, tindakan itu sama sekali tidak menjejaskan hubungan Amanah dengan PKR termasuk gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Mungkin mereka merasakan PKR akan bertanding lebih banyak kerusi, peluang mereka menjadi Ahli Parlimen lebih baik dalam PKR berbanding Amanah.

“Ia jelas mengecewakan, tetapi kami tidak mengugut orang. Terpulang kepada kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap parti. Jika mereka merasakan boleh mendapat peluang lebih baik dalam parti lain, mereka bebas membuat keputusan sendiri.

“Selagi mereka tidak mengorbankan prinsip mereka untuk memperjuangkan keadilan dan semuanya. Maka, kami bersyukur,” katanya seperti dipetik portal FMT, hari ini.

Media melaporkan, tiga individu terbabit adalah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; Faizul Amri Adnan (ADUN Serom) dan Muhamad Said Jonit (ADUN Mahkota).

Khalid berkata, tiga ADUN itu tidak dipecat parti, tetapi tindakan mereka menyertai PKR bermakna keahlian mereka dalam Amanah ditamatkan secara automatik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button