Berita Utama

Cuba rempuh polis, Bob Mah Sing serta rakan direman 4 hari

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya

KUALA LUMPUR, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Dua lelaki termasuk Bob Mah Sing yang cuba merempuh anggota polis dengan kenderaan mereka semalam, direman empat hari hingga Selasa untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kedua-dua lelaki terbabit masing-masing berumur 35 dan 40 tahun ditahan semalam selepas terlibat dalam kejadian dua rempuhan membabitkan dua kenderaan dan kereta peronda polis di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh.

“Perintah reman terhadap dua lelaki itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, lelaki yang dikenali sebagai Bob Mah Sing berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira 11.45 malam di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor setelah melarikan diri selepas kejadian itu dan semakan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai 20 rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

Nik Ezanee berkata keputusan ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki terbabit didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Semalam, tular dalam media sosial aksi polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan berkenaan selepas suspek enggan menyerah diri apabila disuruh memberhentikan kenderaan untuk diperiksa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button