Berita Utama

Dalang dadah selindung di balik gelaran Tan Sri, Datuk Seri

'Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik gelaran yang ada'

BANGI, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik gelaran Tan Sri dan Datuk Seri.

Sindiket berkenaan yang dikesan mempunyai rangkaian hebat, berselindung di sebalik perniagaan sah serta hidup mewah itu bagaimanapun, sukar untuk mengaitkan mereka dengan kegiatan dadah.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Abdul Hamid Bador berkata, walaupun status mereka bergelar Tan Sri dan Datuk Seri, sudah tiba masanya mereka dibawa ke muka pengadilan kerana sudah merosakkan ribuan rakyat Malaysia dengan kemasukan dadah.

Katanya, jika selama ini, setiap kali rampasan besar mencecah jutaan ringgit, hanya individu bawahan sahaja diusik, sedangkan rangkaian utama yang berada di atas tidak terjejas.

Katanya lagi, setakat ini Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap sindiket dadah berkenaan.

“Paling tidak, kita akan mengambil tindakan menerusi Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik gelaran yang ada, sedangkan hakikatnya mereka adalah penyuntik dana,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ancaman dadah semakin di negara ini semakin serius dan pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat atasan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button