Berita Utama

Mansuh pencen: Kerajaan gagal tadbir, rakyat pula dihukum

Bilangan penjawat awam dijangka berkurang akibat tindakan tidak berperikemanusiaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Rejab 1445H, Jumaat – Langkah kerajaan memansuhkan skim pencen penjawat awam bagi lantikan tetap atas alasan untuk penjimatan adalah tidak munasabah.

Bahkan, keputusan kerajaan campuran yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga disifatkan satu kesilapan besar dan tidak berperikemanusiaan.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad berkata, penjawat awam adalah tulang belakang sistem pentadbiran dan pembangunan negara, terutama dalam bidang pendidikan.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini akan menyebabkan bilangan penjawat awam berkurang kerana anak muda tidak lagi berminat menceburi bidang ini.

“Kerajaan sekarang semakin hilang hala tuju, sebelum ini mengumumkan pelantikan penjawat awam baharu hanya dilakukan secara kontrak, kini pemansuhan skim berpencen,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Lukman mengkritik keputusan yang dibuat Kabinet untuk menjimatkan duit kerajaan, walhal pelbagai pembaziran dalam pengurusan telah dilakukan sebelum ini.

“Ironinya, kerajaan melakukan pelbagai pembaziran dalam pengurusan dan gagal menjana pendapatan yang mencukupi dari pelbagai bidang ekonomi negara.

“Kerajaan yang gagal mentadbir, rakyat pula yang dihukum! Sepatutnya kerajaan mengambil tindakan proaktif melakukan transformasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti diri dan kerjasama pasukan mereka melalui latihan dan ganjaran berdasarkan prestasi,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kabinet bersetuju agar perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap adalah tidak berpencen selepas ini.

Beliau berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Menurutnya, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button