Berita UtamaIstimewa

MCA cuba ‘tegak benang basah’, lantik peguam bela pemprotes Jawi

Tak pelik, ini bukan kali pertama MCA bela mereka yang kurang ajar

BANGI, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya ‘kagum’ dengan komitmen parti berasaskan perkauman, MCA dalam mempertahankan lapan lelaki yang didakwa dengan pertuduhan berhimpun secara haram pada 2019.

Ini susulan MCA dilaporkan, bakal melantik peguam bagi membantu semua tertuduh yang didakwa di mahkamah kerana pembabitan mereka dalam ‘bantahan kemasukan pembelajaran Jawi dalam kurikulum pendidikan Cina’.

Tindakan itu atas alasan kononnya semua tertuduh hanya mengamalkan hak kebebasan bersuara mereka dalam keadaan yang aman seperti dibenarkan dalam Perlembagaan negara.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, mereka menyuarakan permohonan dengan aman, tanpa menjejaskan keamanan awam.

Tidak pelik dengan keadaan itu, Aminuddin berkata, ini bukan kali pertama parti itu membela mereka-mereka yang kurang ajar sebegini.

“Contohnya, kes pencerobohan tanah di Raub, mereka berlumba-lumba dengan DAP untuk membela penceroboh.

“Malah, dalam kes mencabar keabsahan kedudukan sekolah vernakular, peguam mereka dihantar juga untuk mempertahankan bagi pihak sekolah vernakular.

“Berbalik kepada kes protes pembelajaran tulisan Jawi di mahkamah itu tadi, saya ‘kagum’ betapa komitednya mereka menegakkan benang yang basah dan mempertahankan mereka yang jelas bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) tidak menolak kemungkinan mereka yang terlibat dengan protes itu mengaku tidak bersalah hasil daripada sokongan peguam MCA.

“Jika tidak, pastinya mereka akan mengaku bersalah dan menerima hukuman seadanya kerana memang jelas pun.

“Tidak pelik juga mereka begitu berani sebegini kerana ini isu melibatkan sekolah Cina dan pasti ianya akan memberikan kelebihan, sekurang-kurangnya kelebihan moral kerana Timbalan Menteri Pendidikan adalah dari MCA juga,” katanya.

Susulan melihat kehadiran pimpinan-pimpinan dan wakil-wakil rakyat DAP ke mahkamah memberikan sokongan di mahkamah, Aminuddin meminta orang Melayu mengambil iktibar.

“Antara wakil rakyat yang hadir memberi sokongan di mahkamah adalah ADUN Tras, Chow Yu Hui (DAP) dan ADUN Triang, Leong Yu Man (DAP) walaupun Tras dan Triang terletak jauh dan tiada kena mengena dengan daerah Jerantut.

“Iktibar yang kita boleh ambil di sini ialah bagaimana komitednya mereka membela bangsa mereka walau berlainan parti dan blok politik. Lihat juga bagaimana mereka memanfaatkan jawatan yang ada secara strategik walaupun mereka hanya ada dua kerusi di Parlimen dalam kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button