Menteri agama minta umat Islam hormati keputusan Mahkamah Persekutuan
Jawatankuasa teknikal Jakim diarah bersidang tambah baik perundangan Syariah

BANGI, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan bersidang bagi melihat ruang penambahbaikan undang-undang Syariah khususnya berkenaan kesalahan jenayah Syariah.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri setelah mengadakan perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Jakim berhubung kesan dan implikasi perundangan yang berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan, Khamis lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.
Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengambil maklum keputusan itu, Dr Zulkifli berkata, jawatankuasa berkenaan akan berunding dengan negeri-negeri dan pihak berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang Syariah di Malaysia.
“Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan, menjadikan kedudukan agama Islam di negara ini lebih istimewa berbanding agama lain.
“Ini seperti mana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes terdahulu,” katanya.
Sebagai menteri yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal Islam, beliau menegaskan bahawa prinsip Perlembagaan itu akan terus dijunjung dan dipertahankan.
“Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan spekulasi dari penghakiman tersebut.
“Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, serta boleh menjejaskana perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta,” katanya.
Pada masa sama, Dr Zulkifli turut memuji tindakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang meneliti perkara berkenaan bagi memperkasa perundangan Syariah di negeri itu.
“Ini satu tindakan proaktif yang wajar diberi pengiktirafan,” katanya.