1,911 kes baharu, jangkitan COVID-19 kekal tinggi di Palestin
Kadar pulih setakat ini capai 90.8 peratus di negara itu

RAMALLAH, 16 Rejab 1442H, Ahad – Sebanyak 1,911 jangkitan coronavirus baharu, 24 kematian dan 956 kes pulih direkodkan di Palestin dalam tempoh 24 jam lepas.
Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila berkata, 16 kematian dicatatkan di Tebing Barat, enam di Baitulmaqdis yang diduduki dan satu di Semenanjung Gaza.
Daripada jumlah jangkitan yang didaftarkan itu, 1,615 kes berlaku di Tebing Barat termasuk 449 di daerah pusat Ramallah sahaja, diikuti oleh Hebron (353), Nablus (197) dan Bethlehem (128).
Sementara itu, penurunan ketara dalam jumlah kes harian dicatat di Semenanjung Gaza – dengan 88 kes dilaporkan – di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, sebanyak 208 kes didaftarkan.
Di Tebing Barat, 717 kes pulih, sementara Semenanjung Gaza mencatatkan 100 kes. Di Baitulmaqdis yang diduduki, 136 angka kes pulih dilaporkan.
Alkaila berkata, 117 pesakit coronavirus berada dalam rawatan intensif, yang mana 26 daripadanya memerlukan ventilator.
Katanya, kadar pemulihan di Palestin setakat ini mencapai 90.8 peratus, sementara kes aktif mencatat 8.1 peratus, manakala kematian berjumlah 1.1 peratus daripada jumlah jangkitan. – Agensi