Berita Utama

Keracunan makanan: Sampel puding buih dihantar ke makmal untuk siasatan

'Sekiranya terbukti puding buih penyebab keracunan peniaga boleh diambil tindakan'

KUALA TERENGGANU, 8 Ramadan 1443H, Ahad – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel puding buih yang dimakan oleh dua kanak-kanak (lelaki dan perempuan) sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan makanan, Rabu lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sampel tersebut akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.

“Sekiranya terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

Semalam, media melaporkan dua beradik dari Kampung Seberang Tuan Chik, telah mengalami cirit-birit dan muntah pada 4 pagi dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli oleh ibu mereka di sebuah gerai di Bukit Tumbuh, 6 petang, Rabu lepas.

Kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan masih menerima rawatan sehingga kini, namun kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka akan dibenarkan pulang hari ini.

Dalam pada itu, Dr Kasemani menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati semasa membeli juadah sepanjang Ramadan bagi mengelak perkara seumpama itu berulang.

“Amalkan kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dimakan terutama juadah yang menggunakan telur kerana telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko menyebabkan keracunan makanan kerana boleh mengandungi bakteria salmonella,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button