Berita Utama

Suami isteri bunuh anak dihukum gantung sampai mati

Pihak pembelaan gagal timbul keraguan munasabah terhadap pendakwaan

KUALA TERENGGANU, 16 Rejab 1442H, Ahad – Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap sepasang suami isteri selepas didapati bersalah membunuh anak gadis mereka, lima tahun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian hari ini, Hakim, Datuk Zainal Azman Abd Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Anuar Yusof, 55, dan isterinya Murni Ahmad, 40 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sementara dua anak mereka Siti Sarah Anuar, 26 dan Amir Sharif Anuar, 19, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat beranak ini didakwa bersama-sama membunuh mangsa Siti Hajar Anuar, yang ketika kejadian berusia 22 tahun di Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai Chukai, Kemaman, kira-kira jam 10.45 malam, pada 26 April 2016.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 35 akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud dan kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Masliela Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Tragedi menimpa mangsa dikesan selepas polis curiga dengan laporan kematian dibuat bapa gadis itu pada 26 April 2016.

Pada mulanya, gadis berkenaan dikhabarkan mengalami sakit biasa, tetapi kesan gigitan di badan selain lebam di mata membongkar tindakan itu dipercayai dilakukan ahli keluarganya sendiri.

Siasatan awal polis juga mendapati keadaan fizikal gadis berkenaan terlalu kurus yang hanya berat 18 kilogram seperti kebuluran tidak cukup makan menyebabkan empat beranak itu ditahan di rumah keluarga berkenaan pada 1.50 pagi, 1 Mei 2016.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button