Berita Utama

3 dalang sindiket dadah bergelar Tan Sri, Datuk dikenal pasti

Berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan

BANGI, 16 Rejab 1442H, Ahad – Tiga individu – bergelar Tan Sri dan Datuk – disyaki dalang utama kartel dadah di negara ini.

Siasatan awal polis mendapati mereka berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, aktiviti perniagaan yang dimiliki individu berusia 45 tahun dan ke atas itu sebenarnya hanya alasan untuk mengaburi kegiatan utama iaitu pengedaran kokain ke luar negara.

Katanya, mereka juga tidak menggunakan langsung khidmat kakitangan yang terbabit dalam perniagaan yang sah untuk kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah bagi mengelak maklumat bocor.

Tambahnya, individu bergelar Tan Sri dan Datuk itu mempunyai kakitangan lain untuk melaksanakan perniagaan dadah mereka dari proses membawa masuk dadah menggunakan perairan negara, penyimpanan sehinggalah pengedaran ke luar negara.

“Tindakan JSJN Bukit Aman, pada masa ini adalah mengumpulkan maklumat dan bukti kukuh daripada ahli-ahli sindiket pengedaran dadah tempatan yang sudah diberkas sebelum ini sebelum melakukan tindakan lanjut termasuk tangkapan ke atas Tan Sri dan Datuk terbabit.

“Malah kita juga sudah menahan beberapa ‘anak buahnya’ melalui beberapa kejayaan operasi sebelum ini yang membabitkan peringkat Bukit Aman, kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, adalah amat penting bagi polis mengumpulkan bukti kukuh lebih banyak sebelum tangkapan dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama ini tidak terlepas menerima hukuman sewajarnya.

Katanya, risikan awal mendapati orang-orang bawahan atau suruhan kepada tiga individu itu akan menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan.

“Kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu serta menjadi sejarah rampasan terbesar dadah dalam negara di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang, pada 10 September 2019 dipercayai turut mempunyai kaitan dengan Tan Sri dan Datuk terbabit,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status Tan Sri dan Datuk.

Katanya, beliau akan memastikan individu berstatus Tan Sri dan Datuk itu dipenjarakan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebaik pembabitan mereka dapat dibuktikan oleh JSJN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button