Dunia

Duta Myanmar di PBB dipecat kritik pemerintahan junta

Kyaw Moe Tun gesa masyarakat antarabangsa ambil tindakan sewajarnya

YANGON, 16 Rejab 1442H, Ahad – Duta Besar Myanmar untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipecat, sehari selepas beliau mendesak badan antarabangsa itu menggunakan semua kaedah yang sewajarnya untuk menghentikan pemerintahan tentera. 

Kyaw Moe Tun memberitahu Perhimpunan Agung PBB bahawa beliau bercakap bagi pihak Aung San Suu Kyi. 

“Kami memerlukan tindakan sekuat mungkin dari masyarakat antarabangsa untuk segera menghentikan pemerintahan tentera,” katanya pada Jumaat.

Penyiar rasmi Myanmar, MRTV pada Sabtu memaklumkan bahawa Moe Tun telah mengkhianati negara itu serta menyalah guna kuasa dan tanggungjawab sebagai seorang duta besar. 

Pelapor Khas PBB untuk Myanmar, Tom Andrews berkata, beliau mengagumi dengan keberanian Moe Tun, dan menegaskan bahawa sudah tiba masa dunia berani menyahut gesaan itu dengan tindakan. 

Sementara itu, duta China tidak mengkritik rampasan kuasa itu dan menyifatkan keadaan berkenaan adalah urusan dalaman Myanmar, selain menegaskan Beijing menyokong usaha diplomatik oleh negara-negara Asia Tenggara bagi mencari jalan penyelesaian.

Negara Asia Tenggara itu terjerumus dalam krisis sejak tentera merampas kuasa pada 1 Februari dan menangkap Suu Kyi serta sebahagian besar pemimpin partinya, setelah tentera mendakwa pemilihan yang diadakan pada November sebagai penipuan.

Bagaimanapun, suruhanjaya pilihan raya mendapati bahawa pengundian itu adil. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button