Berita Utama

Hormati undang-undang dibuat badan perundangan negeri: PAS

Akan berusaha mengharmonikan undang-undang Sivil, Syariah

KUALA LUMPUR, 16 Rejab 1442H, Ahad – PAS menyeru semua pihak menghormati dan tidak cuba mengambil pendekatan tidak wajar dengan mencabar aspek perundangan sedia ada yang dibuat oleh badan perundangan negeri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia penting demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

“PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh badan kehakiman atas desakan yang tidak wajar akan membawa kepada implikasi yang tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, PAS akan turut berusaha agar undang-undang Sivil dan Syariah dapat diharmonikan.

“PAS yakin berteraskan pengiktirafan undang-undang Syariah termasuk oleh Mahkamah British di negara ini di zaman pramerdeka, prinsip undang-undang tersebut mampu mewujudkan suatu wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.

“Ini dapat dilihat dalam keputusan kes Ramah binti Ta’at vs. Laton binti Malim Sutan yang diputuskan pada tahun 1927 yang mengatakan “the Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land”.

“Begitu juga dalam kes Fatimah binti Harrris vs. Ismail Haji Tahir yang diputuskan dalam tahun 1939, Mahkamah British pada masa itu mengatakan “that Mohammedan law is a part of the law of Johore”,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button