Berita Utama

Kes Malaysiakini: Campur tangan asing ‘grand plan’ kekalkan pengaruh

Sikap imperialis pastikan agenda dilaksana di negara pernah dijajah

BANGI, 16 Rejab 1442H, Ahad – Campur tangan Barat dalam sesuatu isu di negara ini bukanlah berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya telah menjadi satu perancangan yang sudah begitu lama sejak sebelum merdeka lagi.

Maka, respon Suruhanjaya Tinggi British dan Kanada serta Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur terhadap keputusan mahkamah dalam kes portal Malaysiakini, hanyalah salah satu rentetan daripada pelbagai insiden lain yang pernah berlaku sebelum ini.

Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya dalam segmen Bicara PEMBELA, yang disiarkan secara langsung di Facebook, malam tadi.

Beliau berkata, sejak Malaysia belum mencapai kemerdekaan sehingga kini, Barat sentiasa cuba campur tangan dalam sistem pentadbiran negara.

“Bermula 1990 melalui Perjanjian Pangkor, di mana Barat terlibat dalam perjanjian itu yang juga babitkan raja-raja.

“Kemudian ketika merdeka juga kita lihat bagaimana campur tangan Barat dan pemimpin terpaksa menerima syarat yang dikemukakan mereka,” katanya.

Disebabkan itu, sikap imperialis ada dalam kalangan pemimpin Barat bagi memastikan agenda mereka terus dilaksana di negara-negara yang pernah dijajah.

“Dan mana-mana pihak yang cuba menghalang campur tangan ini akan dilihat sebagai tidak demokratik, yang tidak mengiktiraf hak asasi rakyat dan sebagainya.

“Campur tangan ini juga dilihat di negara lain di belah Timur seperti Indonesia, Filipina dan Malaysia. Ini merupakan ‘grand plan’ yang dibuat Barat untuk memastikan agenda mereka dalam konteks pengaruh, agama atau ekonomi dapat dipertahankan,” katanya lagi.

Aminuddin berkata, campur tangan itu bukan hanya dalam pentadbiran, malah sistem kehakiman, politik dan pendidikan.

“Disebabkan campur tangan Barat dalam sistem pendidikan kita hari ini melahirkan sistem vernakular, yang menjadi duri dalam daging hingga menyebabkan kita tidak dapat menyatukan bangsa hingga ke hari ini kerana telah dipecahkan Inggeris.

“Inilah dasar bukan Islam kerana agama Islam menyatakan mengenai pentingnya penyatuan dan kebersamaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button