Berita Utama

Mahkamah Rayuan Putrajaya kendali prosiding dalam talian mulai esok

Perayu seorang banduan akan mengikuti prosiding dari Penjara Kajang

KUALA LUMPUR, 16 Rejab 1442H, Ahad – Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan mengendalikan prosiding pendengaran rayuan jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh yang pertama esok, dengan perayu yang juga banduan akan mengikuti prosiding berkenaan dari Penjara Kajang.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes rayuan jenayah melalui sidang video berkenaan adalah berkaitan sabitan serta hukuman di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Dalam prosiding rayuan esok, hakim akan berada di Istana Kehakiman sementara peguam dan Timbalan Pendakwa Raya akan berada di pejabat masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurut PKPMP, badan kehakiman sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dalam memastikan kesinambungan pentadbiran keadilan ketika pandemik COVID-19 termasuk untuk semua banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara.

“Keutamaan adalah diberikan kepada banduan yang tempoh hukumannya hampir tamat, pesalah kanak-kanak dan pesalah muda, kes berkepentingan awam dan apa-apa pertimbangan lain yang difikirkan suai manfaat oleh mahkamah,” menurut PKPMP.

Jelas PKPMP, prosiding pendengaran rayuan jenayah itu hanya terpakai bagi banduan yang diwakili oleh peguam atau tidak diwakili peguam dan sedang menjalani hukuman di penjara.

Katanya, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat telah mengeluarkan Arahan Ketua Hakim Negara Bil. 6 Tahun 2021 yang memperuntukkan mengenai pengendalian prosiding rayuan jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh semasa tempoh pandemik yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2021.

Arahan itu boleh diakses menerusi portal e-Arahan Amalan melalui pautan https://tinyurl.com/ArahanAmalanKHN.

Badan kehakiman berharap agar inisiatif yang diambil ini akan dapat meningkatkan kualiti akses kepada keadilan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi secara optimum terutama dalam pengendalian kes rayuan jenayah semasa tempoh pandemik ini, menurut PKPMP. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button