Berita Utama

Tak kompromi, tak pakai pelitup muka kompaun RM1,000

Wajib pakai ketika guna pengangkutan awam, tempat sesak

KEPALA BATAS, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar dengan arahan pemakaian pelitup muka yang diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum mulai 1 Ogos ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

“Rakyat hanya perlu patuh dan ikut keputusan (kerajaan) untuk kepentingan seluruh negara. Memang tidak selesa (memakai pelitup muka), tapi ia dapat melindungi kita daripada dijangkiti,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan RM160,000 kepada 32 buah masjid dalam Parlimen Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka kini sudah menjadi kebiasaan baharu kepada rakyat Malaysia sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19.

“Kita telah membudayakan pemakaian pelitup muka sejak awal penularan COVID-19 lagi. Lebih kurang lima bulan dah, takkan rakyat tak terbiasa. Jadi, kita tidak boleh terima alasan kalau rakyat kata tak biasa (pakai pelitup muka),” tegasnya.

Pada 23 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam susulan kes jangkitan pandemik COVID-19 yang kembali mencatat peningkatan di peringkat global, termasuk di Malaysia.

Sementara itu, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung secepat yang mungkin.

“Sekarang ini kita memang dalam proses untuk menyediakan draf undang-undang sementara untuk mengawal COVID-19 melibatkan 14 kementerian berkaitan. Maklumat terperinci berhubung peraturan berkaitan akan dibincang dan dibentangkan secepat mungkin,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button