Berita Utama

Satu lagi peruntukan Enakmen Islam Selangor bakal dicabar

Kes permohonan SIS cabar Seksyen 66A bakal didengar tidak lama lagi

BANGI, 16 Rejab 1442H, Ahad – Satu lagi peruntukan Enakmen Islam Selangor akan dicabar keabsahannya tidak lama lagi, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tidak berperlembagaan.

Mahkamah Persekutuan dijangka akan mendengar cabaran keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor difailkan Sisters In Islam (SIS) tahun lalu.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, cabaran terhadap peruntukan itu dijangka didengar tidak lama lagi.

“Khamis lepas, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor tidak berperlembagan dan tidak sah.

“Tidak lama lagi, mahkamah yang sama akan mendengar cabaran keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Islam Selangor pula,” katanya.

Zainul Rijal yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, kebenaran mencabar peruntukan itu telah diperoleh SIS Forum Berhad mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

September lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS Forum Berhad memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar satu peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri itu.

SIS Forum Berhad (Sisters In Islam) memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah berikutan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pada 11 Mac 2021 untuk mendengar saman minta arahan di dalam kes tersebut dan kemudiannya akan menetapkan tarikh pendengaran perbicaraan. 

Pada 14 Januari 2021, Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof telah membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mencelah di dalam kes tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button