Berita Utama

Tiga termasuk dua beradik maut kemalangan di Jalan Kuching

Semua mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

KUALA LUMPUR, 16 Rejab 1442H, Ahad – Tiga termasuk dua beradik maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuching, dari arah Bulatan Segambut menghala ke Kepong, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, mangsa ialah seorang wanita, Lee Pan Nee, 45, dan adik lelakinya, Lee Veeran, 35, yang menaiki pacuan empat roda Mazda BT-50 dan seorang lagi pemandu kereta Proton Satria, Muhammad Hafiz Md Isa, 22 tahun.

Menurut Zulkefly, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Hafiz hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham Muhammad Hafiz, Datuk Seri Erynna Abdul Rashid berkata, Allahyarham ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah bersama-sama rakannya yang memandu kenderaan berasingan.

“Allahyarham menjalankan perniagaan menjual susu secara dalam talian dan dalam perjalanan pulang selepas menghantar tempahan pelanggannya di Ampang.

“Dalam kejadian tersebut, rakannya yang memandu di belakang menyaksikan kereta dipandu Allahyarham cuba mengelak motosikal di laluan itu sebelum hilang kawalan,” katanya ketika dihubungi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button