Berita Utama

Data peribadi penerima vaksin tak dikongsi dengan syarikat pengeluar

Hanya dikongsi maklumat kesan sampingan selepas imunisasi

KUALA LUMPUR, 17 Rejab 1442H, Isnin – Kerajaan memberi jaminan data peribadi rakyat yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak akan didedahkan kepada syarikat pengeluar vaksin terlibat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menegaskan data yang mungkin akan dikongsikan dengan syarikat farmaseutikal terlibat hanyalah maklumat berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) dilakukan.

“Rakyat tidak perlu risau, kita (kerajaan) tidak akan dedahkan data peribadi mereka kepada syarikat pengeluar vaksin, hanya data umum seperti AEFI akan dikongsi.

“Bagi situasi antara Pfizer-BioNTech dengan negara Israel, mereka memang sudah ada perjanjian untuk kongsi maklumat (penerima) yang terperinci… tambahan Israel negara yang lebih dahulu terima vaksin,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian pada sesi sidang video program ‘Sembang Vaksin’ menerusi aplikasi Zoom anjuran gabungan doktor dan petugas kesihatan di Twitter atau MedTweetMY.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang berbincang dengan pihak hospital dan pengamal perubatan swasta tentang penglibatan mereka dalam Fasa 2 dan 3 PICK.

Jelasnya kedua-dua fasa itu memerlukan petugas kesihatan yang lebih ramai termasuk yang bertugas di hospital dan fasiliti kesihatan swasta bagi melaksanakan aktiviti imunisasi melibatkan jutaan penduduk di negara ini.

“Harus ditekankan, walaupun sebahagian rakyat akan menerima vaksin di hospital atau fasiliti kesihatan swasta pada Fasa 2 dan Fasa 3 PICK itu nanti, mereka tetap terima vaksin secara percuma,” tegasnya.

Beliau berkata buat masa ini JKJAV menetapkan semua pembelian vaksin daripada syarikat pengeluar dan pemberian vaksin adalah menerusi kerajaan bagi menjamin kesaksamaan dalam aktiviti imunisasi kepada rakyat yang layak divaksinkan.

Katanya apabila bekalan vaksin itu tersedia untuk pasaran terbuka kelak, kerajaan akan memantau dan menetapkan harga siling bagi penggunaan di hospital swasta.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan menggubal undang-undang baharu berkaitan penyebaran berita palsu vaksin COVID-19 yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata setakat 6.30 petang hari ini, seramai 15,923 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sejak Fasa 1 program itu dilaksanakan pada 24 Februari lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button