Berita Utama

‘Kita tak mahu dengar lagi’, muktamadkan UEC ‘once and for all’

Rakyat diajak tolak pemimpin pertahan UEC dalam PRU15

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Safar 1443H, Sabtu – Kerajaan diminta untuk memuktamadkan permasalahan berkenaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) agar ia tidak berterusan menjadi barah yang akan memusnahkan negara ini.

Ini kerana sebarang bentuk pengiktirafan bakal memberi implikasi besar khususnya kepada pembentukan rakyat berjiwa patriotik yang tidak mudah tunduk menjadi boneka kepada negara lain.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, UEC bukan isu ‘menjual nasi lemak’ tapi perihal pendidikan yang bakal menentukan masa depan sesebuah negara.

“Semua negara melihat isu pendidikan sebagai isu paling penting yang tidak boleh dikompromi dalam mencapai misi dan visi negara.

“Ini bukan isu kecil, sebab itu kita bantah secara tegas, mana mungkin kita boleh benarkan satu sistem pendidikan yang ketepikan bahasa kebangsaan tetapi mendewa-dewakan negara lain.

“Apakah akan lahir sikap patriotisme dalam kalangan mereka ini melalui UEC sekiranya bahasa yang digunakan bukan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program eksklusif Pidato Pertiwi bertajuk ‘UEC Barah Perpaduan’ yang ditayangkan secara langsung menerusi TV Pertiwi, malam ini.

Aminuddin menegaskan semua perkara mesti mempunyai batasan yang boleh dikompromi tetapi dalam soal bahasa, agama dan negara ia tidak boleh dipandang mudah.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pemimpin untuk melihat perkara ini secara matang dan tidak terlalu memikirkan tentang undi sehingga sanggup menggadai perkara asas pembentukan sebuah negara berdaulat.

Bagaimanapun, tegas beliau, sekiranya masih ada pemimpin yang mempertahankan UEC ini, rakyat diajak untuk menolak mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Sebab itu kami minta pihak kerajaan, pihak pemerintah memberhentikan polemik ini once and for all, kita tak mahu dengar lagi kerana implikasinya sudah banyak kita sebut.

“Sebab itu saya kata isu ini isu yang harus kita tolak habis-habisan dan kita akan lancarkan kempen ini berterusan sehingga kita berjaya memberhentikan polemik ini,” tegasnya.

Pautan pidato ;

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/546611563261216/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button