Berita Utama

Timbalan menteri dakwa cuti 55 hari lawat keluarga di New Zealand

Cuti rehat tanpa gaji diluluskan PM, Menteri Wilayah Persekutuan

BANGI, 17 Rejab 1442H, Isnin – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjelaskan, bahawa beliau telah memohon cuti selama 55 hari untuk ke New Zealand.

Permohonan dibuat melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu surat pada 3 Disember 2020.

Jelasnya, permohonan beliau untuk mengambil cuti rehat telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan kelulusan Perdana Menteri, berdasarkan kelayakan cuti rehat seperti yang ditetapkan dalam peraturan pelantikan sebagai timbalan menteri.

Selain itu, beliau juga telah diluluskan cuti tanpa gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan cuti rehat.

Santhara menjelaskan, tujuan beliau keluar negara adalah bagi melawat anak-anak di New Zealand – khususnya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab, saya perlu untuk bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

“Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur sembilan tahun untuk menerima ‘holy communion’ juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai timbalan menteri dan Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab laporan media berhubung kehilangan beliau yang kononnya berada di New Zealand untuk bercuti.

Terdahulu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran bertanya keberadaan Santhara susulan laporan yang mendakwa, beliau berada di New Zealand untuk bersama-sama keluarga sejak Disember 2020.

Beliau turut menggesa Ahli Parlimen Segamat itu memberi penjelasan, jika dakwaan itu benar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button