Berita Utama

Amaran! BN keluar PN, PH boleh menang PRU15: Lim Guan Eng

PH hanya perlu 15 peratus undi Melayu kembali memerintah

PUTRAJAYA, 17 Rejab 1442H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) didakwa berpeluang mentadbir semula kerajaan jika gabungan parti itu memperoleh sokongan 15 peratus pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, ia berdasarkan satu dapatan kajian yang menyatakan situasi itu boleh berlaku sekiranya jumlah peratusan berkenaan ditambah dengan pengundi bukan Melayu.

Dakwanya, ia sekali gus memungkinkan PH memperoleh 35 peratus undi dan mentadbir semula negara.

“Kajian itu turut menunjukkan jika BN (Barisan Nasional) keluar Perikatan Nasional (PN), BN mampu mendapat 35 lebih peratus undi Melayu dan masing-masing 15 peratus buat PH dan PN,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Guan Eng, walaupun PH ada banyak perancangan ketika mentadbir negara setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi PH tiada masa mencukupi untuk melaksanakannya.

Dakwanya, ini termasuk ada perancangan yang perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Sebagai contoh, dakwanya lagi, janji kerajaan PH untuk mengurangkan tol sebanyak 20 peratus yang disusuli dengan penghapusannya, selain mula untuk mengurangkan harga petrol.

Pada masa sama, beliau berkeyakinan rakyat mula sedar sumbangan PH, justeru PH perlu menonjolkan prestasinya berbanding PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button