Berita Utama

Kerajaan pertimbang denda pihak potong barisan vaksin COVID-19

KJ bakal muat naik garis panduan jelas tentukan siapa petugas barisan hadapan

PUTRAJAYA, 17 Rejab 1442H, Isnin – Kerajaan sedang mempertimbangkan denda terhadap pihak yang didapati cuba memotong barisan bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mengikut undang-undang, terdapat beberapa peruntukan khusus bagi mendakwa seseorang dengan cara mendenda jika mereka menganggu atau menghentikan usaha untuk mengawal dan mencegah penyebaran COVID-19.

“Ini sudah pasti,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin setelah mempengerusikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJV).

Sementara itu, Khairy mengatakan sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyiasat aduan memotong barisan untuk vaksin yang telah dikhususkan untuk petugas barisan hadapan di bawah fasa pertama program imunisasi nasional.

“Pegawai EXCO negeri, menteri besar dan setiausaha negeri tidak termasuk dalam senarai. Ini termasuk ahli keluarga dan pasangan menteri Kabinet dan penggubal undang-undang.

“Tunggu giliran anda dan jangan sekali-kali cuba mendaftar dan memotong barisan,” katanya.

Beliau menjelaskan kejadian baru-baru ini yang melibatkan beberapa pembantu anggota EXCO negeri yang memotong barisan untuk mendapatkan vaksin kerana kekeliruan.

“Kami telah memutuskan untuk mengeluarkan garis panduan yang jelas yang akan menentukan secara terperinci siapa yang menjadi petugas barisan hadapan dan ini akan dimuat naik ke laman web kami. Isu potong giliran tidak akan timbul lagi dan semua akan diminta untuk mematuhi garis panduan,” katanya.

Dengan garis panduan yang jelas, beliau memaklumkan bahawa petugas di pusat vaksinasi tidak akan tunduk pada tekanan dan akan memastikan bahawa hanya mereka yang layak akan diberi vaksin.

Khairy juga mengatakan bahawa mereka yang ingin membuat aduan boleh berbuat demikian tanpa mendedahkan nama sendiri untuk tujuan melindungi identiti mereka.

“Saya telah menerima beberapa aduan melalui e-mel saya dan secara peribadi akan memeriksanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button