Berita UtamaIstimewa

Mahu hukuman berat? Ada udang di sebalik batu cabar sistem Syariah?

Mengapa puak songsang rai keputusan Mahkamah Persekutuan?

BANGI, 17 Rejab 1442H, Isnin – Tindakan seorang lelaki mencabar peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang mendakwanya atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii diibaratkan sebagai ada udang di sebalik batu.

Ini setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan sehingga membuatkan seluruh komuniti atau aktivis puak songsang bersorak kegembiraan.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendakwa, ramai yang tidak sedar akan implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.

Bahkan dakwanya lagi, tidak logik pesalah seks luar tabii yang didakwa di Mahkamah Syariah dalam kes itu tiba-tiba mahu mencabar keperlembagaan undang-undang dan mahu dihukum di Mahkamah Sivil yang dikatakan ‘lebih berat’.

“Tidak lama lagi, SIS Forum Berhad (Sisters In Islam) akan cabar satu lagi enakmen Islam Selangor di Mahkamah Persekutuan juga berikutan pengisytiharaan mereka sebagai pertubuhan sesat oleh autoriti Islam.

“Semua pencabaran sebegini ada cerita dan kronologi di sebaliknya. Maka, jangan abaikannya kerana ianya akan membuatkan kita terlepas pandang gambaran besar tentang apa yang terjadi.

“Teruskan bersuara desakan anda untuk agenda membela perundangan Syariah di Malaysia demi agama, bangsa dan tanah air!,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

September lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS Forum Berhad memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar satu peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri itu.

SIS Forum Berhad (Sisters In Islam) memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah berikutan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pada 11 Mac 2021 untuk mendengar saman minta arahan di dalam kes tersebut dan kemudiannya akan menetapkan tarikh pendengaran perbicaraan.

Pada 14 Januari 2021, Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof telah membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mencelah di dalam kes tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button