Berita Utama

Netizen desak MP ‘New Zealand’ letak jawatan

'Saya cadangkan YB berhenti jadi timbalan menteri duduk rumah jaga anak saja'

BANGI, 17 Rejab 1442H, Isnin – Alasan yang diberi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar berhubung keberadaan beliau di New Zealand sejak Disember lalu menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial.

Terdahulu, Santhara menjelaskan telah memohon cuti selama 55 hari termasuk cuti tanpa gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan cuti rehat untuk membolehkan beliau berada di New Zealand dalam tempoh tersebut.

Permohonan cuti itu dikatakan telah mendapat kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Disember lalu dan disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Santhara berkata, tujuan beliau memohon cuti adalah bagi melawat anak-anaknya yang berada di New Zealand khususnya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

Seolah-olah berlaku ‘double standard’, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dalam pematuhan menteri terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengguna media sosial dikenali sebagai Hakimudin M Jalil berkata, rakyat juga ada tanggungjawab yang sama tetapi tetap patuh pada SOP walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga.

“Sepatutnya wakil rakyat atau menteri perlu lebih berkorban sebagai teladan dan ikutan buat rakyat,” katanya.

Mohd Zamri Mohd Duyalmi menyarankan, Santhara meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri untuk melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab ketua keluarga.

“Oleh kerana YB Timbalan Menteri terlalu sibuk sehingga susah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa, saya cadangkan YB berhenti jadi timbalan menteri duduk rumah jaga anak saja,” katanya.

“Hebat sungguh satu keluarga duduk di luar negara dan anaknya belajar di universiti luar negara.

“Dia pulak boleh jadi MP kat Malaysia. Rakyat Malaysia tak boleh rentas daerah atau negeri. Ramai yang masih tak dapat jumpa anak ibu bapa lagi. Dia pula boleh rentas negara. #doublestandard,” demikian pula kata Sargunavathi Munusamy.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button