Berita Utama

Tan Sri, Datuk Seri dalangi kartel dadah bukan ahli politik

Polis tidak akan terburu-buru menahan individu terbabit

GEORGE TOWN, 17 Rejab 1442H, Isnin – Bukit Aman hari ini menjelaskan tiga individu bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang disyaki mendalangi kartel dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini bukan ahli politik atau terlibat dengan mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan ahli perniagaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata walaupun telah dikenal pasti, pihaknya tidak akan terburu-buru menahan tiga indivdu terbabit.

“Memang seorang Tan Sri dan dua Datuk Seri itu kini berada dalam radar kami, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut dan lengkap supaya selepas ditahan serta ketika pendakwaan kelak dapat dibuat tanpa sebarang kecacatan. Kita tidak mahu apabila tangkapan ke atas mereka yang berpengaruh ini dibuat (mereka) kemudian dilepaskan (kerana siasatan tidak memadai).

“Jadi biar polis jalankan kerja kami iaitu mendapatkan maklumat serta bukti yang lengkap terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya iaitu menahan tiga individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, ketika mendedahkan mengenai ‘kingpin’ dadah itu, Razarudin dilaporkan berkata ketiga-tiga individu tersebut menggunakan status mereka untuk menjalinkan hubungan dengan individu berpengaruh bagi “menghalalkan” wang haram hasil daripada aktiviti jenayah berkenaan.

Razarudin juga dilaporkan berkata hasil keuntungan aktiviti dadah sebelum ini digunakan mereka sebagai modal membuka perniagaan dalam sektor perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Razarudin berkata tindakan undang-undang ke atas individu berstatus bukan perkara baharu kerana polis sebelum ini pernah mengambil tindakan sama ke atas beberapa individu bergelar Datuk di bawah Akta Dadah Berbahaya serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Tahun lepas misalnya, kita mengambil tindakan di bawah LLPK terhadap dua individu bergelar Datuk melibatkan kes di Melaka dan Kelantan selain kes sama pada 2017. Cuma kes-kes begini sebelum ini tidak begitu mendapat liputan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota polis yang didapati melindungi serta menyalurkan maklumat kepada sindiket pengedaran dadah.

“Jika mereka yang ditahan itu tidak sampai ke peringkat mahkamah, saya akan pastikan mereka dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja. Ini amaran keras kepada semua pegawai dan anggota polis yang terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Razarudin berkata demikian sebagai mengulas penahanan empat individu termasuk pegawai kanan polis berpangkat ASP yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah kerana melindungi sindiket pengedaran dadah sejak beberapa tahun lalu.

Pegawai polis berusia 43 tahun itu bersama seorang anggota berpangkat Lans Koperal berumur 40 tahun dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berusia 36 tahun serta seorang ahli perniagaan berusia 29 tahun ditahan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.

Keempat-empat suspek dipercayai menerima wang suapan berjumlah RM500,000 daripada sindiket pengedaran dadah sejak beberapa tahun lalu bagi melindungi serta tidak membocorkan maklumat berhubung sindiket pengedaran dadah di sekitar negeri ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button