Pendapat

Di mana ‘soft power’ kita di peta dunia?

Apakah peradaban, ketamadunan Melayu tak mempunyai nilai kuasa lunak?

BERMULA dua atau tiga dekad pasca Perang Dunia Kedua, kuasa lunak (soft power) menjadi satu-satunya mekanisme penting untuk negara kuasa besar meneruskan hegemoni terutama bekas tanah jajahan. Tetapi semua ini berlaku dengan pendekatan yang lunak dan mesra – demi kelestarian penjajahan baharu.

Maka jambangan bunga pun dihulur kepada negara lain yang lebih kecil pengarunnya, atau suatu waktu dulu pernah dijajah dan ditindas. Duri-duri di tangkai bunga pun digenggam dengan penuh rasa persahabatan. Kerana datangnya dengan lunak dan mesra, luka-luka dulu pun terbebat akhirnya.

Negara kuasa besar menggunakan ekonomi untuk menggerakkan kuasa lunak – memberi tajaan atau biasiswa pendidikan kepada negara sasaran. Mempromosi ‘demokrasi’ dan ‘hak asasi’ untuk mendoktrin golongan minda tertawan. Tidak ketinggalan budaya popular seperti muzik, filem dan gaya hidup.

Ketika perang, kuasa besar ibarat kawanan serigala kelaparan yang meratah negara-negara kecil termasuk Malaya. Berlakulah paksaan, penindasan, kekejaman dan kezaliman fizikal. Kuasa tentera (hard power) adalah satu kaedah menjajah dan menjarah. Kini era itu sudah berlalu dan keadaan berubah, penjajahan diteruskan dalam cara yang lebih halus dan lunak.

AS mengaktifkan banyak dana antaranya National Endowment for Democracy (NED), Young Leaders of the Americas Initiative (YLAI), Young African Leaders Initiative (YALI) dan Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSELAI) sebagai pemangkin doktrinisasi untuk kepentingan geopolitik AS.

Kuasa besar datang semula sebagai kawan yang menghulurkan bantuan, mengemukakan satu nilai hidup yang didakwa selari dengan modenisasi. Pada masa sama mempromosi demokrasi seolah-olah negara lain tidak demokratik, dan kepada yang terleka kelunakan itu melarutkan kewarasan dalam membuat keputusan.

Misalnya Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore pernah turut melaungkan ‘reformasi’ ketika berada di negara ini pada 1998. Sesetengah dalam kalangan kita pun larut dan terpesona dengan lunaknya pemimpin nombor dua AS ikut reformasi. Dia mempromosi ‘demokrasi.’

Maka sesetengah dalam kalangan kita menjadi lebih percaya pada ‘demokrasi’ AS berbanding yang kita amalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. ‘Demokrasi’ AS terasa lebih manis dan lunak.

Mempromosi demokrasi antara kuasa lunak AS yang secara psikologinya seolah-olah negara lain tidak demokratik. Maka demokrasi dan nilai-nilai baharu mengikut hak asasi manusia acuan AS diberi penekanan di pasaran politik antarabangsa. Inilah lesen hegemoni kuasa besar di Barat yang sangat halus.

Ahli sains politik terkemuka, Joseph Nye yang memperkenalkan konsep ‘soft power’ pada awal 1980-an pernah berkata, propaganda terbaik adalah yang bukan propaganda. Propaganda terbaik adalah yang puitis dan lunak, penuh pujukan, keyakinan, dan paling penting bukan paksaan. Kata-kata ini amat tepat dalam banyak kes hegemoni AS.

Dalam buku Bound to Lead: The Changing Nature of American Power (1990) Joseph Nye menulis, “Apabila sebuah negara mahu supaya negara lain berkerjasama secara mesra dan tidak mengarah melakukan itu dan ini secara paksaan, itulah soft power.”

Secara psikologinya, pujukan dan kelunakan mudah mencairkan pendirian, ketegasan atau nasionalisme negara sasaran. Kuasa lunak ini umpana air dan negara sasaran sebagai kerak nasi – cepat mengalah. Kemudian berasimilasi dengan nilai-nilai baharu yang sebahagian besarnya satu pembentukan nilai oleh kuasa besar.

Kuasa lunak menjadi wahana hegemoni baharu negara-negara yang lebih awal sedar akan sumber sosiobudaya untuk diperdagangkan di pasaran dunia. AS mengunakan sumber ekonomi, perdagangan, diplomatik, tidak kurang budaya popular untuk menzahirkan neo-imperialisme.

Negara-negara lain yang sedar akan kuasa baharu ini telah mengutip hasil yang bukan sedikit sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua. China, Jepun, Korea Selatan misalnya menjadi pemain kuasa lunak yang dikagumi pada abad baharu ini. Malah membimbangkan AS kerana negara-negara ini mempunyai sumber yang asli untuk menggerakkan kuasa lunak masing-masing.

Kuasa lunak sebenarnya sangat luas, menjalur hampir dalam semua bidang dan lapangan terutama geopolitik, ekonomi dan diplomatik. Pada keadaan tertentu kuasa lunak tidak semuanya bertujuan hegemoni atau menjajah negara-negara lain.

Sebaliknya menyohor kini nilai-nilai peradaban dan ketamadunan dan sosiobudaya ke peta dunia. Malah menjadi sebahagian daripada wacana bertentangan (counter discouse) dalam sosiobudaya dan nilai kehidupan dengan kuasa-kuasa besar.

Di mana duduknya kita dalam peta kuasa lunak dunia? Untuk dibandingkan dengan China barangkali tidak sepadan, tetapi kita ternyata sangat jauh tertinggal dalam memanfaatkan kuasa lunak berbanding Jepun atau Korea Selatan.

Kedua-dua negara ini menggunakan bahasa ibunda, nilai-nilai setempat dan sosiobudaya sebagai kuasa lunak pasca Perang Dunia Kedua. Budaya popular mereka sudah lama mendunia – muzik dan filem jauh meninggalkan kilang filem di Hollywood.

Kita antara pelanggan produk kuasa lunak Korea Selatan dan Jepun. Fenomena K-Pop menjadi kuasa lunak Korea Selatan paling berjaya. Jepun juga pernah suatu ketika menjadi keutamaan kita dalam kandungan kreatif di stesen televisyen. Tidak sekadar kandungan kreatif, makanan tradisional kedua-dua negara sangat popular di negara ini.

Apakah peradaban dan ketamadunan Melayu tidak mempunyai nilai kuasa lunak? Apakah kestabilan hubungan pelbagai kaum bukan kuasa lunak yang boleh mengangkat jenama negara di peta dunia? Atau sebenarnya pemimpin kita agak kurang berfikir perihal kuasa lunak ini kerana lebih selesa menjadi pelanggan?

Pada dekad 1970-an, kita menerima budaya hippies dari AS yang dalamnya ada seks bebas sebagai ekspresi kebebasan. Pada abad baharu kita melanggan pula budaya K-Pop, masa yang sama terasuk dengan gaya hidup Lesbians Gay Biseksual dan Trangender (LGBT). Kita ternyata terus melanggan kerana banyak lagi yang akan datang.

Ku Seman Ku Hussain
Bekas Pengarang Mingguan Malaysia

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Utusan Malaysia. 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button