Berita Utama

Ekonomi negara dijangka catat pertumbuhan positif tahun ini

Peniaga dan isi rumah perlu sama-sama galakkan pertumbuhan ekonomi

BANGI, 18 Rejab 1442H, Selasa – Tahap pembukaan ekonomi dijangka berlaku dalam kadar bersesuaian tatkala proses vaksinasi dilancarkan ke seluruh negara.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan pakej rangsangan ekonomi dan peruntukan belanjawan besar, tidak mustahil ekonomi negara bakal mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun ini.

“Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa berfikiran positif supaya sudut pandang kita akan lebih objektif dan cenderung untuk mencari penyelesaian.

“Tidak dinafikan bantuan kerajaan yang pelbagai dan diuruskan beberapa agensi boleh menimbulkan kekeliruan.

“Namun, kita perlu fokus dan terus mencari jalan keluar kepada permasalahan dihadapi,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sememangnya unsur penting dalam satu-satu ekonomi itu, namun ia bukan satu-satunya unsur menggerakkan ekonomi.

Katanya, ia memerlukan peniaga dan isi rumah untuk bersama-sama bekerja bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

“Hakikatnya, pertimbangan antara kesihatan dengan ekonomi adalah sesuatu yang amat sukar untuk diputuskan.

“Tanpa nyawa, bekalan buruh akan berkurangan dan ekonomi boleh terencat.

“Ini tidak termasuk faktor sentimen negatif seperti kebimbangan kehilangan nyawa juga boleh menjurus kepada kegiatan ekonomi yang boleh terhenti berikutan risiko jangkitan wabak itu,” katanya.

Katanya lagi, ekonomi juga penting bagi kehidupan kerana di situlah rakyat dan peniaga akan berinteraksi bagi menghasilkan barangan serta perkhidmatan.

“Peniaga akan mendapat untung dan pekerja mendapat upah. Kedua-duanya ini akan dibelanjakan untuk merancakkan lagi ekonomi.

“Sehubungan itu, sebarang bentuk tindakan bakal diambil, perlu mengambil kira data relevan, tepat dan terkini supaya keputusan diambil tidak pincang.

“Berdasarkan pengamatan ini, kepemimpinan kukuh dan cakna terhadap risiko yang boleh berlaku menjadi ciri-ciri penting dan wujud dalam kerajaan sedia ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button