Keputusan mahkamah bukan pengiktirafan kepada LGBT: MAIS
Persetubuhan sejenis kesalahan amat serius di sisi agama Islam

SHAH ALAM, 18 Rejab 1442H, Selasa – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pihak berkuasa agama Islam di Selangor akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan siasatan untuk kesalahan seks luar tabii yang dihadapi seorang lelaki akan diteruskan oleh pihak PDRM mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, walaupun pihak MAIS akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, namun ia tidak sama sekali boleh dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sama ada oleh pihak mahkamah mahupun pihak MAIS.
“Ini kerana perbuatan persetubuhan sejenis atau di luar tabii adalah tetap merupakan suatu kesalahan yang amat serius di sisi agama Islam yang bercanggah dengan ajaran Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di Malaysia seperti mana firman Allah dalam Surah al-Syu’ara ayat 165 dan 166,” katanya.
Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan pengisytiharan yang dimohon seorang lelaki berusia 35 tahun mengenai Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) (EJSS) 1995.
Beliau berkata, pihak MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan susulan daripada itu Mesyuarat MAIS Khas telah diadakan semalam bagi membincangkan keputusan tersebut.
“Isu yang dibawa ke hadapan Mahkamah Persekutuan adalah berhubung dengan interpretasi, kesahan dan kesan penggubalan Seksyen 28 EJSS menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa walaupun perlakuan persetubuhan luar tabii adalah merupakan satu kesalahan yang melanggari perintah agama Islam, namun kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang mengenainya adalah dihadkan oleh klausa pengecualian.
Menurutnya Klausa pengecualian itu terdapat dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan pengecualian terhadap perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan.
Oleh yang demikian katanya, DUN tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak kompeten untuk menggubal peruntukan Seksyen 28 EJSS dan Seksyen 28 berkenaan telah diputuskan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Katanya, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya menyatakan bahawa pihak DUN Selangor masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan Syariah seperti kesalahan membabitkan akidah; kesucian agama Islam dan moral.
“Justeru, MAIS akan terus mendukung prinsip kesalahan syariah seperti yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995) (EJSS) demi memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri terus terpelihara di Malaysia dan Selangor khasnya,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.
Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 EJSS 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam Jadual Kesembilan Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen. – Bernama