Berita Utama

Kunjungan PM ke Arab Saudi akan bincang kuota umrah dan haji

SOP sudah ada cuma perlu dikemaskini ikut realiti sebenar COVID-19

BANGI, 18 Rejab 1442H, Selasa – Kuota ibadat umrah dan haji serta prosedur operasi standard (SOP) di Tanah Suci bagi jemaah negara ini hanya diketahui selepas kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi, tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan, asas kepada garis panduan SOP itu sudah wujud tetapi perlu dikemaskini berdasarkan realiti sebenar COVID-19 kini.

“SOP sudah ada tetapi kita perlu pastikan ia SOP antara dua buah negara dan dibuat selaras dengan suasana di Arab Saudi kini justeru sebarang kemas kini hanya akan diputuskan selepas ziarah Perdana Menteri, tidak lama lagi.

“Kerajaan Arab Saudi sendiri biasanya akan membuat pengumuman (mengenai kuota jemaah dan SOP) tetapi kali ini berlaku sedikit kelewatan disebabkan isu COVID-19.

“Diharapkan semua pihak dapat bersabar dahulu buat sementara ini.” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Dr Zulkifli berkata demikian ketika ditanya sama ada kebenaran sudah diberi kepada jemaah haji di Malaysia untuk mengerjakan ibadah itu di negara berkenaan.

Sebelum ini, Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian berkata, Arab Saudi dijangka menerima kunjungan Muhyiddin bagi membincangkan mengenai kuota haji dan umrah pada tahun ini.

Beliau berkata, Arab Saudi tidak pernah menutup pintu untuk jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji dan umrah selepas pembukaan semula sempadan di negara itu malah kunjungan rakyat di negara ini sentiasa dialu-alukan.

Pada 3 Februari lalu, Arab Saudi menggantung kemasukan pelawat dari 20 negara sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak COVID-19 tetapi Malaysia tidak berada dalam senarai itu.

Arab Saudi sudah membenarkan rakyat di negara ini menunaikan umrah sejak 15 November lalu tetapi kerajaan tidak membenarkannya atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button