Berita Utama

Peniaga besi buruk mengaku ‘Datuk Seri’ ugut porak-perandakan polis

Suspek ada pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan

JOHOR BAHRU, 18 Rejab 1442H, Selasa – Seorang lelaki mengaku Datuk Seri bersama rakannya ditahan selepas mengugut dua mangsa termasuk seorang anggota polis berpangkat Inspektor, Khamis lalu.

‘Datuk Seri’ yang merupakan peniaga besi buruk berusia 56 tahun dan rakannya berusia 41 tahun ditahan kira-kira jam 8.30 malam di sekitar Masai susulan laporan polis daripada seorang mangsa yang diugut kedua-dua suspek berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua suspek telah melakukan pemerasan meminta mangsa yang berusia lingkungan 50-an membayar sejumlah hutang dengan kekerasan di kawasan Seri Alam pada 22 Februari lalu.

“Berikutan aduan yang diterima daripada mangsa, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan membuat tangkapan terhadap dua suspek berkenaan tiga hari kemudian.

“Ketika ditahan, ‘Datuk Seri’ itu bagaimanapun telah mengugut Inspektor yang menahannya dengan menyatakan ‘Tuan tangkap saya, saya akan porak-perandakan semua balai polis dan hidup tuan’,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf.

“Semakan rekod Datuk Seri juga mendapati dia mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dengan ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak, sekitar 1980-an serta 1990-an.

“Datuk Seri berkenaan juga banyak menderma wang kepada pertubuhan bukan kerajaan bagi melindungi kegiatannya selain mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button