Berita Utama

Timbalan Menteri saja layak jadi ibu bapa bertanggungjawab?

YB perlu kerap berada di kawasan apatah di musim pandemik, banjir

BANGI, 18 Rejab 1442H, Selasa – “Rakyat memang pelik bagaimana permohonan cuti panjang 55 hari untuk Timbalan Menteri Wilayah boleh lulus? Amat luar biasa kerana alasannya untuk bersama keluarga yang duduk di luar negara.

“Apakah Timbalan Menteri sahaja layak jadi ibu bapa bertanggungjawab. Rakyat biasa tidak?”

Demikian sinis Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi selepas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar menjelaskan, keberadaan beliau di New Zealand sejak Disember lalu atas faktor menziarahi keluarga.

Semalam, Santhara menafikan dakwaan pihak yang menuduh beliau ke New Zealand secara ulang-alik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menyatakan memohon cuti selama 55 hari bekerja yang disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pada 10 Disember 2020 dan diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Disember 2020.

Ahli Parlimen Segamat itu menjelaskan, tujuan beliau ke New Zealand bagi melawat keluarga terutama anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan menunaikan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak berusia sembilan tahun selepas setahun tidak berjumpa, selain isteri yang mengalami masalah kesihatan.

Puad mengingatkan bahawa seorang Yang Berhormat (YB) perlu kerap berada di kawasan apatah lagi di musim pandemik dan banjir.

“Segamat pun tidak kurang terkesan. Cuti dua minggu tidak cukup ke?” soalnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Selain itu, beliau turut bersimpati dengan permohonan cuti barisan hadapan yang tidak lulus.

“Habis tinggi mereka mohon dua tiga hari sahaja untuk melawat anak dan isteri di luar daerah. YB Dr Santhara bagi alasan, dia mohon cuti dan kelulusan rentas sempadan ke New Zealand kerana mahu menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

“Apakah rakyat biasa yang dilarang melakukan rentas daerah atau negeri untuk melawat keluarga mereka dianggap ibu bapa tidak bertanggungjawab? Mereka bukan mohon rentas negara,” katanya.

Beliau turut mendakwa ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, cuti menteri dan timbalan menteri dibekukan di musim banjir.

“Najib batalkan percutiannya dan terus ke Kelantan yang dilanda banjir besar tahun 2014.

“Apakah jawatan Timbalan Menteri Wilayah tidak penting? Makin berleluasa amalan dua darjat di negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button